foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Tuesday, September 15, 2009

MALAM TERAKHIR DI KAHERAH..

IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.

14-15 SEPT

Kami tiba dari Iskandariah sekitar jam 3 ptg langsung ke penginapan Darul Aman dan berehat sebentar sementara menunggu waktu Asar. Janji kami bertemu dengan wakil sdr kita dari GAZA yang telah tertunda beberapa hari lalu akhirnya menjadi detik paling dinantikan. Kami pergi ke Arish sempadan Rafah sebenarnya adalah untuk memudahkan sdr kita dari GAZA datang langsung dan menyerahkan bantuan tersebut. Ternyata di sepanjang perjalanan dari Kaherah ke Arish driver kami ABu Muhammad terus diingatkan dan dipantau oleh polis terutama setiap kali bertemu dengan sekatan jalan. Abu Muhammad memberi nasihat agar kami jangan teruskan ke Rafah kerana risikonya amat tinggi terutama kepada beliau. Ramai temannya diseret ke penjara hanya semata-mata kerana didapati bekerjasama dengan pihak yang memberi bantuan ke GAZA. Di penjara satu hal yang amat menakutkan kerana bermacam akibat boleh terjadi. Keluarga mereka dibunuh sementara mereka di penjara bukan berita asing bagi mereka. Beliau menyampaikan kepada kami dnegan penuh perasaan agar kami mahu akur.

Ya, kami akhirnya akur dan meminta beliau membawa kami melihat beberapa tempat di Asyir sementara menunggu info dari wakil sdr kita di GAZA. Tempuh yang kami berikan sehingga jam 10 pagi tidak menjadi lalu kami minta wakil sdr kita datang ketemu di Kaherah. Alhamdulillah setelah hampir Kaherah saya menerima panggilan telepon dan set bertemu malamnya di Kaherah. Dialog dengan pelajar pada malam tersebut amat penting lalu temu janji malam itu gagal. Kami berkejar ke tempat tersebut ternyata sdr kita sudah pulang kerana beliau menunggu hampir 2 jam. Saya terasa amat bersalah dan ingin rasanya meminta mohon maaaf yang tidak terhingga kepada sdr kita itu dan ingin membalasnya dengan apa sahaja asalakan permintaan mohon maaf dapat beliau terima. Cuma dari sudut lain kami yakin Allah belum mengizinkannya dan terpaksa ditunda setelah balik dari Iskandariah. Inilah yang saya katakan tadi pertemuan pada hari ini amat bererti buat semua.

Saya langsung menghubungi pihak di GAZA dan memaklumkan hal tersebut. Saya dengan rasa kesal memohon maaf akan tersebut. Alhamdulillah, oleh kerana mereka adalah pejuang maka sifat sabar muncul dari sikap mereka. Beliau menerimanya dengan tenang dan menyerahkan kepada syura kami. Ini memberi pelajaran berharga buat saya khasnya dan juga teman-teman dari Malaysia. Bukan semua hajat kita dapat direalisasikan mengikut aturan kita tetapi semuanya adalah ketentuan Allah. Semuanya ada hikmah dan semuanya perlu kepada muhasabah. INilah skil perjuangan yang harus kita semua fahami dan amalkan.

Alhamdulillah tepat jam 4.30 petang saya menerima panggilan lagi dari sdr kita dan memberi laporan bahawa beliau dalam perjalanan. Bagi memudahkan beliau kami menghantar wakil untuk membawa beliau ke tempat kami. Alhamdulillah tepat jam 5.30 beliau tiba dan program penyerahan bantuan dapat dilaksanakan. Sebelum menandatangani surat perjanjian kami sempat berta'ruf dan bertanyakan kabar sdr kita di GAZA. Kami berharap agar pertemuan dan bantuan ini bukan hanya di sini tetapi kami mahukan program yang berterusan. Saya sendiri sejak awal telah bersedia untuk melaksanakan tugas yang lebih berat dari itu iaitu masuk ke GAZA dan mendapatkan info direct (fact finding) cuma buat masa sekarang hal tersebut amat merumitkan mereka. Jadi kita berharap agar mereka memberi info melalui emel secara berterusan. Alhamdulillah setelah semuanya jelas, maka wang sebanyak 27,500 euro diserahkan dengan ditandatangani perjanjian kedua belah pihak dan saksi. Bantuan ini adalah sesi kali kedua.

Setelah sesi foto, beliau mohon izin dan kami terus ke Rumah Anak Perak untuk rapat dengan adik-adik pelajar barisan pimpinan di Mesir. Setelah soalt maghrib, adik-adik menjamu kami dengan 'nasi mandi". Memang sedap dan lazat. Rasanya amat sukar untuk mendapatkannya lagi kecuali di Kaherah Mesir. Nama nasi tersebut ada di KL dan Indonesia tetapi tak sama. Ya inilah kenangan malam terakhir di bumi nabi. Setelah makan yang enak ada rapat, maka aduhai mata..alangkah senangnya tutup. Saya cuba sedaya upaya supaya tidak tertutup terus mata ini tapi tidak terdaya. Lalu saya terpaksa bangun dan mencuci muka. Tak menjadi juga...Ya inilah lemahnya manusia..baru kena "nasi mandi" dah tak lalu bertahan..

Bagaimanapun teman lain masih kuat dan perbincangan masih terus dijalankan. Di akhir sesi wakil pelajar minta kami semua memberi nasihat. Barulah mata boleh celik semula. Mula dari Ust Mukhtar yang menggesa pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan mengambil peluang di bumi para nabi ini dengan mendalamkan ilmu sehingga boleh berkhidmat kepada masyarakat di Malaysia nanti. Saya pula hanya memberi saran agar persatuan mereka peka dengan keadaan di mana ada yang ponteng kuliah dan tidak mahu bercampur dengan kawan semata-mata kerana ketagih internet. INi berat dan amat bahaya. Tidak mustahi kualiti pelajaran juga akan merosot. Jadi persatuan perlu ambil inisatif untuk selesaikan masalah ini.
Aspek kedua yang perlu ditangani ialah wujudnya persatuan yang tidak mahu bersama dengan mereka. Saya sarankan agar wujud sebanyak mungkin dialog dan bersemuka dengan tenang. Hal ketiga yang saya sentuh ialah soal dakwah. Apa yang mereka buat sekarang adalah kerja mulia yang pernah dilakukan oleh para nabi, rasul dan salafussoleh sebelum ini. Asas inilah yang bakal menjadi fatform kepada semua nanti.

Ust Zul memberi penegasan agar organisasi seperti ini dapat digerakkan secara lebih bermutu dan setelah balik ke Malaysia carilah wadah yang sesuai dengan diri masaing-masing demi kerja Islam.

Dr. Khairudin pula menegaskan bahawa pelajar harus lebih kreatif iaitu dengan menulis semula apa yang para syeikh besar di sini ceramahkan. Banyak hal yang dapat kita lakukan jk semua bekerjasama. Kita juga berharap agar pelajar yang tamat dapat menghubungi kami.

Selepas sesi ini kami bergegas ke Masjid Salam untuk tarawikh. Alhamdulillah masih ramai walaupun sudah hampir jam 10 mlm. Di selang seli solat para syiekh terus memberi ilmunya kepada para jemaah. Suasana ini jarang berlaku di tempat kita kerana selesai sahaja tarawikh semua bertempiaran, berbeza di sini saf masih penuh dan doa mohon taubat terus berkumandang sampai ke pagi. Solat malam ini amat istimewa kerana malam terakhir buat kami. Imam seperti macam tahu bahawa kami akan berangkat. Di dalam doa qunutnya kami tidak dapat menahan rasa hiba kerana dengan kemerduan suara beliau dan maknanya dihayati secara mendalam. Ya Allah ..terimalah kami sebagai hamba MU yang mahu benar-benar kembali kepada Islam dan bertaubat....!!! Hampir 20 minit doa dibacakan rasanya amat syahdu dan terasa dekat sekali dengan Allah yang Maha mendengar segala rayuan kami..

Setelah selesai kami bergegas ke airport. Sementara di dalam bas adik-adik pelajar sempat berbincang-bincang tentang Pekida, Hizbut tahrir, Isma dll. Saya hanya mampu mengharapkan agar mereka akan menjadi lebih matang dan bersedia untuk berdepan dengan bermacam ujian. Semoga Allah memberi kesabaran keada semua!!

Setelah bersalaman di luar kawasan airport, kami terus berjalan masuk untuk check in. Mereka tidak dapat masuk ke dalam seperti di KLIA..Memang berat untuk berpisak dengan adik-adik pimpinan yang baik hati meraikan kami sepanjang 6 hari di sana. Semoga Allah membalas kebaikan mereka semua!!! Amin..(bersambung lagi...)