foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Thursday, July 2, 2009

MASLAHAT ISLAM MELEBIHI DARI SEGALANYA..!!

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.
Singkatan;IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

"REFORMIS BUKAN HANYA GELARAN ATAU PEJUANG YANG BERJUANG KERANA MENGHARAPKANNYA!"

2 jULAI

Kemarin saya sempat duduk berbincang dengan seorang ustaz muda, ustazah dan ustaz tua yang sangat komited dengan keyakinan bahawa mereka memilih platform UMNo untuk menyampaikan Islam dari dalam. Saya merenung sejauh mungkin ke dalam benak hati mereka dan memerhatikan gerak mata mereka. Saya ingin syer dengan sdr/ sdri soal asas dan dasar perjuangan ini tanpa memandang rendah niat para ustaz dan ustazah yang masih berada di dalam UMNO. Saya mahu lepaskan segala syak dan sangkaan yang buruk terhadap mereka. Kebetulan hari ini, semua media berbicara soal ini. Soal yang amat dasar dan seharusnya tidak dipolitikkan kerana bersangkut paut dengan aqidah dan nasib kita di dunia dan akhirat.
Antara yang patut kita renungkan:

1. Maslahat Islam dan umatnya wajib diberi keutamaan dengan apa cara sekalipun. Diolog, muzakarah atau apa juga namanya mesti meletakkan pertimbangan Islam bukan pertimbangan yang lain. UMNO, PAS, PKR atau apa sahaja nama gerakannya wajib meletakkan asas yang betul. Bukan siapa yang akan menang atau kalah dalam debat ini. Wajar berdebat dan berdialog tapi jika masih tetap enggan untuk tunduk kepada ketentuan Allah setelah dengan jelas hasil dari muzakarah tersebut, ini amat merugikan semua pihak. Maka mesti ada garis tepat untuk kedua pihak akur dan menerimanya dengan lapang dada serta dengan segera tersungkur sujud kepada kehendak Islam sebenar!!.

2. Pendokong UMNO yang dari aliran agama bukan tidak tahu asas atau dasar perjuangan kehidupan sebagai seorang Muslim. Asasnya ialah Islam bukan yang lain. Jika yang lain menjadi asas maka segala yang diletak atas asas tersebut menyalahi dengan konsep Islam yang kaffah dan syumul. Ini jelas sekali dengan kembali merujuk kepada maksud panggilan Allah kepada orang beriman agar "udkhulu fi siilmi kaffah". Tidak ada campur baur di situ maka jelaslah yang lain. Jika campur baur maka Allah dengan jelas melarangnya dengan jelas "wala tattabiu khutuwatisy syyaitan". Syaitan menjadi pemandu mereka yang mencampurkannya dengan yang lain. Ketika ini jelaslah kita bersama dengan syaitan yang menjadi musuh sebenarnya kepada manusia. APakah ada hujah selain dari ayat ini? Saya menjadi hiba melihat para ustaz dan ustazah yang bermati matian mempertahankan kebenaran hujah nasionalis sebagai dasar perjuangan mereka.

3. Jika Islam mengira sesat perjuangan yang berasasskan selain Islam maka bukankah ini memberi kesan dunia dan akhirat kita semua? Saya gerun bila mendengar ada pihak tertentu yang hanya memberi contoh kosmetik dalam memberi jawapan ketika orang bertanya apa Islam yang kamu telah laksanakan? Dia menjawab Bank Islam, Tabung Haji dll. Apakah ini hujah sebenar atau hanya bermain? APalah makna semua ini jika asasnya bukan dari aqidah yang sebenar? Aduhai sdr sdri mari kita semua selamatkan diri dan keluarga kita dari kesesatan ini!!! Mari kita kembali kepada Islam sebagai dinul hayah (sistem hidup bukan hanya kosmetik)

Nanti kita sambung lagi..

Dari beberapa kenyataan di media pimpinan UMNO cuba mempertahankan isu ini. Jadi yang jelas pimpinan UMNO tidak sanggup menerima hakikat akan perjuangan mereka itu sesat. Apakah ini ikhlas atau hanya kerana memikirkan kepentingan politik semata-mata? Ayuh mari kita semua duduk dan berfikir bersama!! Jika jelas UMNO sesat maka kembalilah kepada Islam yang sebenar!! Tapi jika mahu terus juga maka tugas yang mengingatkan sudah selesai.

Dakwa Umno tolak Islam fitnah besar dari pembangkang, kata Mustapa

KUALA KRAI: Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Umno menolak Islam adalah fitnah besar dan amat tidak bertanggungjawab, kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Datuk Mustapa Mohamed. Menyifatkan apa yang berlaku sesuatu yang amat mendukacitakan, Mustapa berkata beliau kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang membawa 'cerita' kononnya Umno menolak Islam, menyeleweng dan membawa ajaran sesat dalam lawatan rumah ke rumah dan ceramah agama di kawasan itu.

"Kita telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi dalam perbankan Islam, pendidikan Islam dan ekonomi Islam.

Kita mengakui ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi kelemahan ini sentiasa kita perbaiki. Kita harap rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan fitnah seperti ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Al-Quran Parlimen Kuala Krai anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Manek Urai, di sini, hari ini.

Sebagai sebuah parti yang mendokong Islam, beliau berkata Umno bertanggungjawab menegakkan perkara yang benar dan menangkis segala fitnah yang dilemparkan terhadapnya. "Kenapa ini boleh berlaku? Saya hairan juga, saya solat di masjid, kiri kanan saya daripada macam-macam fahaman politik. Kita bersama sembah Tuhan yang sama, dalam masjid yang sama, (tetapi) keluar saja masjid, macam-macam fitnah ditaburkan. Ini amat mendukacitakan," katanya.

Mustapa turut membidas Penasihat Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mendakwa parti itu sengaja membuka ruang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang pimpinan mereka terutama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana itu akan memberi kelebihan kepada PAS. "Tengok muka dapat pahala? Ini kira ajaran sesat. Pahala itu bergantung pada amal maaruf, pahala itu kita buat kebaikan, kita sembahyang dan buat kebajikan ihsan, itu pahala. Tapi tengok gambar... tidak ada nas dalam Al-Quran atau Hadis, saya tidak tahulah, saya bukan ulama besar dalam Malaysia.

"Saya tidak baca manamana kitab yang kata, tengok gambar dapat pahala. Ini macam puja, kira tidak betullah pada pandangan atau ilmu yang ada pada saya. Saya tidak pernah dengar tengok gambar tokoh dapat pahala."

Penamaan calon pilihan raya kecil Manek Urai akan diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung. BERNAMA

HR9808: Berbeza sekali kenyataan dari Tuan Guru yang jelas mempamerkan makna Islam yang sebenar..Maka apakah erti dakwaan Mustapa diatas? Saya bukan taksub kepada seseorang tetapi dengan jelas berbeza apa yang didakwah oleh Tuan Guru dengan pimpinan UMNO. Maka sebagai umat Islam kita harus melihat sesuatu dengan matahati (basirah) bukan hanya dengar sahaja dari satu pihak dan mengikut membuta tuli..!! Ayuh sdr ku dalam UMNO terutama dari para ustaz, ustazah dan muftinya..kembalilah kepada Islam !!!

Nik Aziz jadi tumpuan di kubu Umno di Lela Jasa

Mohd Nor Yahya
Fri Jul 03, 09 9:26:30 pm MYT

KUALA KRAI, 3 Julai (Hrkh) - Biarpun Kampung Lela Jasa dianggap sebagai kubu Umno di peti undi Laloh, namun ramai penduduk hadir menemui Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertandang ke kampung tersebut hari ini.

Menteri Besar turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid kampung berkenaan. Kehadiran orang ramai agak luar biasa.

Selepas itu beliau hadir pada majlis kesyukuran di rumah seorang penduduk di kawasan berdekatan.

Sedangkan sebelum ini kawasan berkenaan menjadi tumpuan kepada pemimpin Umno apabila sering datang ke penempatan tersebut dan bermalam di situ. Antaranya Ketua Penerangan Umno Malaysia, Ahmad Maslan.

Ketika menyampaikan khutbah sebelum itu beliau berkata, ketaatan kepada Allah dan Rasul merupakan asas utama seseorang untuk menjadi pemimpin masyarakat.

Beliau berkata, umat Islam wajib memilih pemimpin yang taat kepada Allah kerana lebih amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas. Image

Kata beliau berbeza dengan pemimpin yang tidak menjadikan agama sebagai pegangan hidup. Mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa ada batasan hukum hakam.

Beliau juga berkata, khutbah Jumaat merupakan medan terbaik untuk menyampaikan mesej agama kepada umat Islam.

"Biar pun ada orang mengatakan khutbah dijadikan medan berpolitik, sedangkan apa yang disampaikan semuanya terkandung dalam al Quran dan Hadis yang menyentuh kehidupan harian.

"Sebenarnya khutbah ialah tempat menyampaikan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Sebab Islam menyeluruh yang meliputi ekonomi, sosial dan politik," katanya. - mj _

Nik Aziz tetap mahu berdebat

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengadakan debat secara terbuka untuk mencapai titik pertemuan yang dijangka menyelesaikan kemelut UMNO dan Pas yang sudah lama berlanjutan. Beliau berkata, surat itu akan tetap dihantar walaupun Najib mengeluarkan kenyataan menolak pelawaan itu. “Hari ini baru saya nak hantar surat itu. Dia nak tolak dia punya fasal. Saya tetap dengan keputusan saya. Lagipun saya tak kirim lagi surat tu. Surat saya akan kirim hari ini. “Saya tetap nak berdebat. Saya yakin dengan cara ini kita dapat mencapai titik pertemuan atau penyelesaian di atas apa yang berlaku selama ini,” katanya kepada media pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Darul Naim di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib yang menolak pelawaannya untuk berdebat secara terbuka. Ketika diminta mengulas mengapa beliau berkeras mahu berdebat sedangkan langkah terbaik adalah bermuzakarah atau bermuqabalah beliau berkata, Pas banyak kali mempelawa UMNO tetapi pelawaan untuk itu ditolak. “Pas terutama Pas Pusat sudah banyak kali meminta untuk bermuzakarah dengan UMNO tetapi ditolak. Tak jadi-jadi. Jadi apa yang kami belum minta lagi ialah debat. Dan debat ini bukan pandai-pandai saya. “Allah sendiri sebut, kita ada tiga cara. Pertama bilhikmah iaitu diberitahu secara biasa. Kedua, walmau’idah juga diberitahu secara biasa dan ketika wajadilhum. Ia bermaksud mesti bermujadalah. Ini beza dia. “Presiden dunia pun dalam masa pilihan raya dia berdebat sesama calon mereka. Obama berdebat dengan lawan dia dari parti Republikan. Sekarang ini Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto,” katanya. Beliau berkata, masalah debat hanyalah teknikal, apa yang penting ialah masalah akidah. “Debat mereka hanya masalah teknikal sahaja. Tetapi debat ini ialah masalah akidah. Kita sembahyang tanpa akidah tidak akan diterima di akhirat. Kita pergi ke Mekah tanpa akidah tidak akan diterima,” katanya. Sementara itu, beliau tidak bersetuju kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifly Noordin yang meminta debat itu diadakan secara tertutup dan berkumpulan. Menurutnya, kenapa perlu diadakan secara tertutup sedangkan selama ini bercanggahan pendapat dan pertelagahan antara Pas dan UMNO berlaku secara terbuka. “Sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1961, apa yang berlaku di antara Pas dan UMNO semuanya secara terbuka. Kenapa sekarang perlu diadakan secara tertutup,” katanya.

HR9808: Salah satu contoh mudah bila Islam tidak diakui dan dilaksanakan...(ini bukan fitnah tapi real..). Apakah Islam mengizinkan pemimpinnya mencuri?? Atau menyorokkan orang yang mencuri.?? Rasanya PAS dan PR siap untuk mendedahkan siapa sahaja yang mencuri jika berlaku dalam negeri pentadbiran mereka. Bagaimana dengan rasuah lain? AYuh..buka mata dan hati kita semua!!

Laporan curi pasir bukti keberkesanan pentadbiran Pakatan Rakyat
Saidah Hairan Fri Jul 03, 09 4:05:34 pm MYT

KLANG, 3 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor mengalu-alukan kekerapan laporan pelbagai pihak termasuk pimpinan BN mengenai kejadian curi pasir kerana ia dapat membantu keberkesanan pelaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, baru kali ini kerajaan tahu ramai orang yang mencuri pasir tetapi kejadian mencuri pasir itu bukan baru berlaku tahun ini tetapi ia sudah berlaku lebih 20 tahun.
Bezanya kata beliau, ketika di bawah pentadbiran kerajaan BN kejadian mencuri pasir dilakukan bersama-sama ahli politik di mana ahli Umno dan MCA turut diberi lesen.
"Sekarang saya tidak bagi kepada sesiapa lesen itu, jadi semakin lama makin kurang orang yang mencuri pasir," katanya dalam sidang media selepas meletakkan batu asas sekolah Islam Al-Farabi, kampung Delek, Klang.
Beliau berkata, apabila kerajaan sudah mula merakyatkan ekonomi Selangor (MES) semua rakyat sudah mengetahui bahawa pasir itu adalah hak mereka kerana hasil penjualannya akan disalurkan dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).
Justeru katanya, berasaskan itu semua rakyat Selangor berasakan hasil pasir adalah hak mereka sebab itu mereka melaporkan kepada pihak kerajaan jika ada kejadian curi pasir.
"Jadi semua pantau siapa curi pasir mereka buat laporan, ini satu usaha yang bagus," katanya.
Beliau merayu kepada rakyat supaya tunjukkan kepada kerajaan mana-mana tempat yang masih berlaku kejadian curi pasir supaya pemantauan dapat dilakukan segera. - mns_

HR9808: Najib selaku pemimpin agung UMNO wajib menjawab dan menerima cabaran Tuan Guru demi masa depan Melayu dan orang Melayu!! Jika UMNO ini sesat dan orang Melayu yang selama ini menyokong perjuangan ini amat berat kondisinya? Saya sejak dulu berpandangan sama dengan Tuan Guru kerana asas dan dasar perjuangan UMNO itu sendiri bukan kerana yang lain.

Najib perlu buktikan Umno tidak tolak Islam
Mat Zain Mat Isa Fri Jul 03, 09 7:13:22 pm MYT
SEKALI lagi para pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno, menzahirkan percanggahan pandangan antara mereka berhubung sesuatu isu diperkatakan. Akibatnya, rakyat awam kebingungan mana satu yang harus diterima sebagai pendirian rasmi atau sikap parti pemerintah itu.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, pada Sabtu (27 Jun) mendesak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat meminta maaf kepada Umno kerana menyifatkan parti itu sebagai parti ajaran sesat seperti Ayah Pin dan sama dengan pengganas komunis.
Seraya menyifatkan kenyataan itu tidak wajar dan keterlaluan, Ahmad turut meminta Menteri Besar Kelantan itu bertanggungjawab dan menarik balik kenyataan yang dibuat itu.
Jadi penoreh getah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang kini bertukar menjadi penoreh getah dan pemotong rumput di Manek Urai, mengulas kecaman Nik Abdul Aziz terhadap Umno yang disifatkannya sama seperti komunis dan ajaran sesat kerana menolak Islam.
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis di Padang Awam Laloh, dalam kawasan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, 21 Jun lalu. �Umno menggesa Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada 1.3 juta ahli Umno di seluruh negara kerana menyamakan Umno dengan gelaran dan panggilan yang cukup menghiris hati orang Melayu,� kata Ahmad.
Kenyataan itu bagaimana pun tidak dikongsi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menegaskan Nik Abdul Aziz tidak perlu memohon maaf kepada Umno, tetapi meminta ampun kepada Tuhan atas kenyataan mengumpamakan parti itu seperti komunis dan ajaran sesat.
"Walau pun ada kawan-kawan yang minta beliau (Nik Abdul Aziz) minta maaf kepada Umno tetapi bagi saya dia tidak payah minta maaf kepada Umno, dia kena minta ampun kepada Tuhan," kata Muhyiddin, pada hari sama.
Percanggahan ketara
Tidak dapat dipastikan kenyataan mana yang dibuat lebih awal antara dua pemimpin Umno tadi. Namun percanggahan antara mereka amat ketara.
Tidak kisahlah mereka mahu bercanggah. Itu bukan perkara pokok yang mahu dibicarakan di sini. Lagi pun, bila masa para pemimpin Umno tidak bercanggah sesama mereka? Bukankah parti itu memang terkenal dengan pertelagahan dan perbalahan?
Apalah sangat kes kenyataan bercanggah antara Timbalan Presiden dengan Ketua Penerangan Umno itu. Sekadar bertentangan kenyataan sangat kecil jika nak dibandingkan dengan aksi tumbuk-menumbuk, membaling kerusi dan tembakan pistol di mesyuarat agung parti itu.
Apa yang lebih besar dari percanggahan antara mereka, dan kemudiannya lebih menarik perhatian umum, ialah gesaan Muhyiddin agar Nik Abdul Aziz memohon ampun kepada Tuhan. Beliau menyifatkan apa yang ditegaskan pemimpin PAS itu satu tuduhan yang tertakluk kepada dosa.
Nik Abdul Aziz dalam reaksinya menganggap apa yang diperkatakannya terhadap Umno itu satu kiasan.
Kiasan
"Boleh jadi kerana saya kata nasionalis dan komunis itu serupa dan serupa tu dari segi mana? Bila kata Mamat serupa dengan harimau, Mamat kena ada ekor, kuku dan berkaki empat ke? Sebenarnya itu adalah kiasan," ulas beliau.
Baginya, semua fahaman yang menolak Islam adalah ajaran sesat. Ia bukan hanya wujud zaman sekarang, malah sejak zaman Rasulullah s.a.w.
Katanya lagi, apabila Umno menolak Islam dan mengamalkan fahaman nasionalisme, ke mana arah tuju sebenar mereka?
Sebagai mencari kejernihan dan jawaban lebih telus serta terbuka terhadap persoalan itu, Nik Abdul Aziz mengumumkan kesediaannya untuk mengadakan debat terbuka antara beliau dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya nak minta beliau (Najib) berdebat dengan saya bulat-bulat secara terbuka. Tidak secara sulit kerana perkara ini (kemelut politik antara PAS dan Umno) telah terbuka kepada umum, tak habis-habis sejak tahun 1951 (penubuhan PAS)," ujarnya, dalam kenyataan disiarkan kebanyakan akhbar, Ahad (28 Jun).
Menurut Nik Abdul Aziz, pendekatan berdebat adalah salah satu cara penyelesaian dianjurkan Islam.
Tiga penyelesaian
"Dalam Islam ada tiga cara (selesaikan pertikaian). Pertama dengan bijaksana; kedua, nasihat dan ketiga adalah berdebat," katanya lagi.
Beliau turut menekankan persoalan atau kekusutan utama yang mahu dileraikannya dari debat tersebut. Ia berkisar dan berhubungkait dengan apa yang diucapkannya di Laloh tempohari.
"Saya cuma nak tahu kenapa Umno tolak Islam. Kenapa Umno lawan PAS sedangkan PAS guna (jadikan) Islam (asas perjuangan)," terang Nik Abdul Aziz.
Tidak syak lagi, penjelasan dan jawaban dari pemimpin utama Umno amat penting bagi menentukan letak duduk sebenar parti itu dengan ajaran Islam.
Apakah Umno ada kekuatan hujah dan dalil untuk membuktikan ia sebuah parti yang tidak menolak Islam sebagai dasar perjuangan? Apakah parti itu fikir rakyat buta dan pekak sehingga tidak dapat menyenaraikan kejahatan dan pencabulannya terhadap agama sendiri?
Sebaliknya, jika terbukti Umno memang menolak Islam, maka apakah satu kesalahan bagi Nik Abdul Aziz menyamakannya dengan ajaran sesat dan komunis? Dalam keadaan itu, apa perlu lagi baginya memohon maaf kepada Umno atau meminta ampun kepada Tuhan? Bahkan, parti itulah yang lebih wajar meminta ampun dan bertaubat.
Kini, beban membuktikan Umno tidak menolak Islam terpikul ke bahu pemimpin parti itu, terutama Najib. Mereka perlu berani buktikan bahawa kiasan Nik Abdul Aziz itu hanyalah fitnah dan tuduhan. _